Islam di Malaysia kurang toleransi?

by Farouk A. Peru, academic and humble philosopher

Pada zaman kita ini, Islam dipaparkan di media (terutamanya di Barat) sebagai agama atau sistem politik yang amatlah bengis dan sempit. Jika kita ‘follow’ sesetengah ‘newsfeed’ di Facebook, acapkali kita akan membaca berita tentang umat Islam membuat kacau-bilau kerana kurang sifat toleransi.

 

Di United Kingdom (UK), saya teringat peristiwa yang menonjolkan sifat kurang toleransi ini – peristiwa Satanic Verses yang berlaku lebih kurang 25 tahun yang lalu.

Buku Satanic Verses karangan Salman Rushdie difahami sebagai amatlah mencaci terhadap Nabi Muhammad, isteri-isteri dan sahabat-sahabatnya. Justeru itu, umat Islam di UK terutamanya di Bradford mengadakan protes di mana mereka membakar buku ini secara besar-besaran.

Yang untung daripada tindakan sebegini tidak lain tidak bukan adalah Rushdie sendiri dan ada pihak yang mengatakan jikalau Rushdie tidak menarik kontroversi, bukunya itu tidak akan laris. Yang untung adalah Rushdie. Yang rugi adalah umat Islam.

Di Malaysia, kita sekarang sudah mempunyai reputasi sebagai negara Islam yang amatlah kurang sifat toleransi. Kalau dulu kita dikatakan sebagai negara Islam yang moderat (dalam bahasa Melayu-Arab sekarang, wasati), sekarang sudah terbalik pula!

Saya masih teringat pada zaman 90an, orang Islam British berkata kepada saya yang mereka mahu negara asal mereka (Pakistan, Bangladesh and Turki) menjadi seperti Malaysia kerana Malaysia aman damai walhal negara mereka ada perang dalaman dan kurang menikmati kemajuan.

Malangnya, sekarang ini Malaysia pun menyertai kumpulan negara Islam yang terpincang! Lebih daripada itu, dalam kes pengharaman pennggunaan kalimah ‘Allah’, Malaysia lebih mundur daripada negara Islam yang paling mundur dari segi toleransi, Arab Saudi sendiri!

Di Arab Saudi, mereka memahami yang kalimah ‘Allah’ itu kalimah bahasa Arab dan bukan hak milik umat Islam. Malang sekali, di negara pentaksub Arab, kalimah ini dikatakan sebagai hak milik orang Islam. Tidak hairanlah di media sosial Arab kita diketawakan mereka.

Mutakhir ini pula, timbul isu di Perlis di mana tokong Cina diharamkan di koridor rumah pangsa. Kenapa ini menjadi isu sekarang pula? Pada zaman remaja saya, kami bermain bola di padang permainan berhampiran. Di padang itu, ada tokong Cina di hadapan pokok besar.

Kami tidak pula ada apa-apa masalah dengan tokong tersebut. Ia tidak menggugat iman kami. Jadi kenapa ia menjadi isu sekarang pula? Orang bukan Islam Malaysia terpaksa menerima yang pada hari Jumaat, orang Melayu-Islam akan meletak kereta di mana sahaja kerana mahu mendirikan sembahyang Jumaat. Jadi kenapa orang Melayu-Islam tidak boleh menerima kehadiran tokong Cina (dan sepatutnya , tokong Hindu juga) di koridor rumah pangsa?

Al-Quran, panduan utama umat Islam menyuruh kita mengiktiraf kepelbagaian dalam budaya manusia (Surah Al-Hajj, ayat 67) jadi kita patut meluaskan fikiran dan menerima yang orang lain pun ada hak juga.

Sifat kurang toleransi bukan sahaja untuk orang bukan Islam. Malahan, di kalangan umat Islam sendiri, sifat ini amatlah tertonjol daripada umat Islam majoriti (iaitu Ahlus Sunnah Wal Jamaah) kepada umat Islam minoriti terutamanya kaum Syiah.

Sifat sebegini bukanlah satu perkara lama. Semasa zaman remaja saya dulu, saya masih ingat lagi betapa senangnya mendapat buku yang mempunyai unsur Syiah seperti kelebihan ahlul bayt dan peristiwa karbala dan sebagainya. Agaknya semasa itu, sifat toleran Melayu-Islam lebih tinggi daripada sekarang.

Minggu lepas, seorang petani ditangkap kerana mempunyai buku berunsur Syiah dalam keretanya. Tajuk bukunya, ‘Kebangkitan Asyura Dalam Ucapan Dan Perutusan Imam Khomeini’. Dia bukannya menyebarkan fahaman Syiah dan tidak pun membaca buku itu. Hanya meletakkannya dalam kereta sahaja!

‘Kesalahan’ seperti itu cukup untuk mendakwanya di mahkamah dan hukumannya termasuklah penjara 2 tahun. Adakah ini satu hukuman yang setimpal? Rasanya tidak.

Bagaimana pula dengan fahaman lain? Mereka ditohmah dengan label ‘ajaran sesat’. Laman web JAKIM ada senarai ajaran ini. Pada kebiasaannya, ajaran ini adalah berunsur tasawuf dan mungkin dicampur dengan tradisi lain yang dicedok seperti agama Hindu, silat dan sebagainya. Sememangnya, ajaran begini akan berlainan dengan budaya Ahlus Sunnah Wal Jamaah tetapi adakah ini memberi justifikasi untuk para agamawan untuk membenteras mereka?

Ketua politik yang berbaur fitnah juga tidak membantu situasi ini. Minggu lepas, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan yang agama Kristian hanya dipeluk orang kurang berpendidikan di Timur sahaja. Di Barat, orang sudah terlalu berpelajaran tinggi untuk menerima agama ini.

Ini adalah satu tohman yang amat pedas dan boleh disifatkan sebagai rasisme. Perlu diketahui mubaligh Kristianlah yang membawa pendidikan kepada orang Timur apabila ulama Islam memincang dunia Islam dengan kemunduran mereka. Jikalau orang Melayu-Islam mengikut pendidikan seperti Hadi Awang, maka kita semua akan menjadi pengikut buta ulamak sahaja.

Apakah yang akan berlaku jikalau sifat kurang toleran ini berleluasa? Saya ramal, akan tertutuplah hati ramai Melayu-Islam kepada agama Islam.

Ini adalah kerana memang menjadi naluri manusia untuk menjadi kreatif dalam pengalaman atau perjalanan agama mereka (religious experience atau spiritual journey).

Apabila mereka disekat daripada berbuat demikian, mereka akan tawar hati. Jadi pengalaman agama mereka akan menjadi cetek. Mereka akan mengikut ritual hanya kerana disuruh tanpa berfikir panjang.

Sikap toleransi amatlah memundurkan negara kita, terutamanya negara Islam. Eloklah kita sedar tentang masalah ini dan mengambil sikap yang lebih terbuka kepada orang lain. Biarkan Allah menghakimi kita, jangan kita manusia pula nak berlaku sebagai Tuhan! – 27 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Sumber: themalaysianinsider.com, 27 Januari 2016

Juga baca: