Salah Perempuankah atau Otak Kamu Yang Porno?

Sumber: Thenutgraph

oleh Norhayati Kaprawi*)

TIDAK memahami sesuatu tidak bermakna benda itu salah. Mungkin cara pandang kita yang perlu diubah dan beralih sedikit agar dapat melihat kedudukan perkara dari perspektif yang berbeza.

Baru-baru ini, satu kumpulan balet asing tidak dibenarkan membuat pertunjukan. Walaupun Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata dia sendiri gemar menonton balet, namun dikatakan mengikut pegawainya yang bertangunggjawab meluluskan permit masuk artis-artis asing , pakaian tutu itu tidak sopan.

Di Indonesia juga, pernah ada usaha mengharamkan skirt pendek atau mini-skirt yang dianggap porno. Mengapa ada pandangan sebegini?

Budaya suka mengharamkan

Mungkin sebab malas untuk berfikir atau fikiran pun masih terbelenggu mentaliti feudal dan diktator, ditambah pulak ada kuasa, maka apa-apa saja yang tidak disukai mudah sekali untuk terus mengharamkannya.
Supaya orang tak berani nak lawan, maka agamalah yang dijadikan alat penyekat dialog. Apa yang dia tak faham atau berkenan di hati, haramkan terus, tak tunggu-tunggu dan tak payah bincang. Antara yang didesak untuk pengharaman ialah:

  • lagu dan filem;
  • panggung wayang;
  • pemikiran-pemikiran yang mereka tidak faham;
  • pakai gincu dan tumit tinggi untuk perempuan;
  • amanah saham;
  • konsert;
  • sambutan perayaan agama lain oleh orang Islam;
  • penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam; dan
  • apa-apa dari Barat.

Maka, Malaysia pun terkenal sebagai negara yang kaya dengan senarai pengharamannya. Mungkin boleh masuk buku rekod Guinness dunia. Senarainya cepat sekali bertambah kerana kerja mengharamkan itu sangat mudah sekali.

Yang Malaysia kurang terkenal adalah sebagai negara yang paling panjang senarai kejayaannya dalam menciptakan sesuatu penemuan atau pemikiran yang baru, yang hebat, yang dapat memberi manfaat pada manusia sejagat.

Islam yang disempitkan

Akhirnya, Islam seolah-olah disempitkan hanya menjadi isu tudung, khalwat, zina, arak, aurat, anjing, poligami dan hudud.
Kenapa bilamana sebut Islam, imej dan obsesi kita tidak terus mengenai keadilan, menghormati dan melindungi hak manusia, kebebasan berfikir, meninggikan hak perempuan, menghapus kemiskinan, kebersihan, menepati waktu, integriti, negara bebas rasuah, berdemokrasi dan sebagainya.

Al-Qur’an banyak sekali menyebut tentang kasih sayang, keadilan, termasuk juga bab khusus tentang waktu iaitu Surah Al-Asr. Kebersihan juga dikatakan separuh dari iman. Kesabaran, kejujuran, kerajinan juga nilai-nilai yang penting dalam Islam.
Namun, orang Islam tidak obsesi tentang keadilan, kasih sayang, kebersihan, kejujuran dan menepati waktu. Sepertinya masyarakat Barat yang lebih mementingkan hal-hal itu.
Lebih ironis lagi masyarakat Islam di Malaysia seperti hidup dalam dua alam berbeza. Di suatu sisi begitu menikmati kehidupan “Muslim moden”, teknologi canggih dan cara hidup mewah dan selesa. Namun di satu sisi lagi, mereka mahu kembali pada “kehidupan Islam” seperti di era lebih seribu tahun dahulu.
Di satu sisi, lelaki Islam yang ideal digambarkan sebagai yang teguh iman, sabar, lemah lembut, berbudi pekerti mulia, bijaksana dan gagah berani menentang kezaliman. Namun di sisi lain pula, lelaki Islam digambarkan sebagai orang yang sangat rapuh sekali imannya, seperti anak kecil yang memang tidak akan berdaya mengawal nafsunya bila tergoda.

Di satu sisi, kita suka mengatakan Islam begitu menjunjung tinggi martabat perempuan, bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu. Akan tetapi orang Islam juga yang suka menggambarkan perempuan itu lemah pemikirannya, emosi tidak stabil, tidak berdaya, penggoda lelaki, kuat membebel dan sebagainya. Terlupa sudah perempuan yang mereka selalu hina-hina itu termasuklah ibu mereka juga.

Budaya memangsakan lagi mangsa

Apabila ada perempuan diperkosa, atau bila berlaku perceraian, masyarakat terus menyalahkan perempuan kerana “pasti dia tidak senonoh”. Bila suami berpoligami, isteri pertama pun terus dipersalahkan kerana “pasti tidak pandai jaga suami”. Ada yang malah membuatkan perempuan yang dikatakan tidak menutup aurat untuk rasa bersalah dan bertanggungjawab menanggung dosa lelaki yang memperkosa perempuan lain.

Logik sadis mereka adalah: “Kalau anda (perempuan) tidak menutup aurat, maka lelaki pun tergoda. Walaupun lelaki itu tidak memperkosa anda, tapi kerana anda telah merangsang nafsunya, dan memang mustahil lelaki boleh kawal nafsunya, maka dia pun akan merogol perempuan lain. Jadi, andalah yang sebenarnya bersalah dan bertanggungjawab terhadap perbuatan lelaki itu.”

Tiada siapa yang menanggung dosa orang lain. Itu jelas dalam Islam. Tiada mahkamah yang akan menerima rayuan perompak yang mendakwa dia merompak bank atau kereta atau rumah orang kerana dia tidak dapat mengawal nafsunya akibat tergoda melihat rumah-rumah besar yang tersergam indah dan kereta-kereta mewah yang penuh di jalan.
Tiada mahkamah juga yang akan menghukum tuan-tuan punya rumah, kereta, jam dan pakaian mewah kerana menayangkan kekayaannya itu lalu membuatkan si perompak tergoda.

Otak kamu itu yang porno

Lalu, masalahnya pada perempuan atau pada lelaki? Gus Dur (Abdur Rahman Wahid), mantan presiden Indonesia dan juga ketua Nahdlatul Ulama, pernah mengatakan “yang porno itu adalah otak kamu”. Tepat sekali analisis Gus Dur itu.
Lihat saja kenyataan lucah Menteri Pertahanan dan mantan menteri berkenaan Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Apabila aktivis-aktivis wanita mahu memberikan sarung tangan putih pada beliau semasa kempen anti rasuah, jawapan spontan yang keluar dari kepalanya ialah: “Pakai sarung tangan pegang isteri nanti tak terasa.” Jadi, jangankan tengok perempuan, tengok sarung tangan atau tiang lampu pun dia akan fikir seks.

Yang kita harus fikirkan adalah mengapa ramai juga lelaki yang walaupun melihat wanita tidak bertudung malah berskirt pendek, tapi tidak terfikir hal-hal yang tidak senonoh di dalam kepalanya.
Maka, bukan sifat semulajadi lelaki itu tidak boleh kawal nafsu. Tetapi jika masyarakat dan undang-undang kerap membela lelaki yang merendahkan, menghina malah memperkosa perempuan, maka tidak hairanlah jika lelaki rasa mereka boleh buat apa saja.
Yang tidak ada otak dan tidak boleh kawal nafsu itu kan binatang. Malahan, ada binatang pun boleh kawal nafsu dan tidak berbuat sesuka hati.

Daripada kementerian mengharamkan persembahan balet kerana penarinya memakai tutu seperti skirt pendek itu, bukankah lebih baik mendidik masyarakat untuk menghargai dan mengapresiasi budaya dan kesenian?

Daripada sibuk menyalahkan perempuan, bukankah bagus untuk memberi kesedaran pada lelaki agar lebih menghormati perempuan, bahawa tiada siapa pun berhak mengganggu orang lain?

*) Norhayati Kaprawi adalah seorang aktivis wanita dan juga pembuat filem, dalam, the Nutgraph 16/04/12

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s